Followers

Monday, December 13, 2010

Pengenalan KAPREZA'11

Karnival Premier Za’ba 2010 (KAPREZA 2011) merupakan projek anjuran Biro Naib Yang Dipertua Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i Kolej Pendeta Za’ba dengan kerjasama Pusat Perkembangan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Projek yang telah memasuki tahun keenam ini berkonsepkan hari keluarga dan telah menjadi satu tradisi bagi komuniti Kolej Pendeta Za’ba.  Selain itu juga, ia merupakan acara tahunan yang sentiasa dinantikan.  Justeru, untuk tahun 2011, dengan tema yang tersendiri, temasya KAPREZA akan dilangsungkan dengan matlamat utamanya iaitu untuk mengeratkan hubungan di antara warga Kolej Pendeta Za’ba yang berbilang kaum sejajar dengan konsep 1 Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Selain itu, ia juga bermatlamat untuk memberi inspirasi kepada mahasiswa/i Kolej Pendeta Za’ba khususnya untuk merasai satu pengalaman berorganisasi disamping membentuk kemahiran kendiri dalam menjadi mahasiswa/i yang berketrampilan.  Diharapkan, dengan pengalaman yang mereka peroleh semasa menglibatkan diri dalam karnival ini dapat memangkin potensi mereka demi kejayaan masa hadapan.

Secara keseluruhan, program ini berpotensi untuk membentuk pemikiran dan penampilan seseorang mahasiswa/i untuk lebih berkeyakinan dan dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran di peringkat tempatan serta global.